ROCHESTER, Amerika Syarikat – Sekumpulan saintis dari Klinik Mayo di sini baru-baru ini mengumumkan ubat antipenuaan yang mereka usahakan sejak beberapa tahun lalu terbukti berkesan selepas diuji ke atas tikus.
Ketua Penyelidik dan Pengarah Pusat Kajian Penuaan Robert dan Arlene Kogod Klinik Mayo, Dr. James Kirkland memaklumkan pemberian ubat senolitik atau antipenuaan telah melanjutkan usia tikus sehingga 36 peratus atau bersamaan 30 tahun usia manusia.
“Kebanyakan orang tidak mahu hidup sehingga usia 130 tahun disebabkan kesan penuaan tetapi mereka tidak kisah hidup sehingga 90 atau 100 tahun asalkan badan tidak berasa lebih tua daripada 60 tahun. Kini ia telah mencapai sasaran itu dalam ujian terhadap haiwan,” katanya baru-baru ini.
Kirkland menegaskan seorang manusia jarang menghidap hanya satu jenis penyakit kronik berkaitan usia dan kebiasaannya dua atau lebih penyakit berlaku secara serentak sekali gus menggambarkan satu mekanisme serupa telah menyerang individu yang lebih berusia.
Penuaan badan dipercayai memainkan peranan dalam permulaan pelbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan lain termasuk kanser dan artritis hinggalah penyakit Alzheimer dan masalah jantung.
Ubat senolitik menyasarkan ‘sel zombi’ iaitu sel hidup yang sudah rosak tetapi menggalakkan sel sihat mengambil alih tempatnya.
Enam ujian penggunaan ubat senolitik ke atas manusia sudah berjalan dan tambahan enam ujian lagi akan bermula dalam masa terdekat. Jika berjaya, ubat tersebut mungkin mula dipasarkan dalam tempoh kurang dua tahun. – Agensi











