LONDON 7 April – Kevin De Bruyne mengakui bebanan yang dirasai untuk memburu empat gelaran, dalam usaha Manchester City mencipta sejarah hanya akan menyebabkan pasukan itu hampir tidak mampu untuk merealiasikan impian tersebut.
Skuad bimbingan Pep Guardiola menghampiri untuk menyapu bersih kesemua gelaran utama, setelah mereka berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Brighton 1-0 pada separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Selepas memenangi Piala Liga, City kini berjaya mara ke perlawanan akhir dalam pertandingan domestik kedua, musim ini. Mereka juga sedang bertarung sengit untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris, dan kini keciciran dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, namun, City memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan.
Rabu ini, mereka bakal berdepan Tottenham dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara di utara London. Guardiola sendiri menyifatkan usaha mereka memburu empat gelaran hampir mustahil untuk direalisasikan selepas perlawanan menentang Brighton.
Pemain tengah City, De Bruyne bersetuju bahawa perlawanan padat yang terpaksa diharungi akan menjadi halangan terbesar pasukannya yang berdepan bebanan mental dan fizikal.
“Ia hampir mustahil. Saya tidak fikir kami mampu memenangi semua pertemuan, perlawanan demi perlawanan, dan jika anda melihat kepada jadual akan datang, saya rasa semua permainan yang kami main kini hanya akan mendapatkan kekurangan dari segi fizikal dan mental.
“Kami terpaksa bermain pada ketika pasukan lain sedang berehat. Liga Juara-Juara juga sama. Jadi, ia amat sukar,” kata De Bruyne.
City kini berada di London menjelang perlawanan di Tottenham. Untuk menjelaskan pendapatnya itu, De Bruyne memberitahu, Tottenham yang juga akan ditentang City dalam saingan Liga Perdana, bulan ini, memiliki waktu rehat pada hujung minggu menjelang pertembungan tersebut.
“Semua perlawanan sangat sukar. Kami cuma perlu bersedia untuk aksi Selasa ini (Rabu waktu Malaysia). Kami tahu perlawanan terakhir Tottenham ialah pada Rabu, jadi mereka lebih cergas berbanding kami. Kami perlu mempersiapkan diri secara mental dan juga fizikal,” jelas De Bruyne. – AFP











