BERLIN 7 April – Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge telah memberi amaran kepada Niko Kovac bahawa jurulatih itu belum selamat daripada dipecat, meskipun Bayern melakar kemenangan besar 5-0 ke atas pencabar gelaran, Borussia Dortmund, awal pagi tadi.
“Tiada siapa yang jawatannya terjamin di Bayern, itu merupakan prinsip asas kelab. Sesiapa yang gagal menangani tekanan, maka, mereka berada di kelab yang salah,” kata Rummenigge sewaktu ditemu bual dalam rancangan bual bicara Sky Sports, hari ini.
Tekanan yang dirasai Kovac kian mengendur selepas Bayern kembali berada di persada Bundesliga selepas mereka membelasah Dortmund.
Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam kemenangan itu, Rummenigge berkata kepada Sky bahawa Kovac perlu dipersalahkan di atas masalah yang menimpa Bayern, awal musim ini.
“Pada Oktober dan November, kami tersungkur selepas jurulatih membuat keputusan untuk melakukan penggiliran pemain sehingga menimbulkan suasana tidak puas hati dalam pasukan. Anda boleh berbuat demikian, tetapi Kovac telah melakukan tanpa mengambil kira persembahan pemain berkenaan.
“Pada ketika itu, terdapat beberapa kesilapan dan kami telah bercakap secara terbuka mengenainya dan membetulkan kesalahan tersebut,” kata Rummenigge yang menyalahkan Kovac ekoran kemerosotan prestasi Bayern yang hanya mencatat dua kemenangan dalam tujuh perlawanan pada musim luruh lalu.
Rummenigge, dikatakan mahu melihat Thomas Tuchel mengendalikan Bayern berbanding Kovac, sewaktu kelab itu sedang mencari jurulatih baharu, tahun lalu, dan mengakui, tugas Kovac bukanlah mudah.
“Memang menakjubkan dalam tempoh 10 tahun, Bayern telahpun memenangi gelaran berganda dan Jupp Heynckes pula merangkul tiga gelaran. Niko perlu menggalas tugas yang cukup berat. Bukan mudah, terutama bagi jurulatih muda sepertinya,” ujarnya. – AFP











