Jangan cuba musnahkan gabungan Mahathir-Anwar - PKR - Utusan Malaysia

Jangan cuba musnahkan gabungan Mahathir-Anwar – PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 April – PKR memberi amaran kepada mana-mana pihak agar segera menghentikan sikap mengadu domba yang sengaja ingin melihat kemusnahan gabungan dua pemimpin besar Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SHAMSUL ISKANDAR
SHAMSUL ISKANDAR 

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin malah menempelak, golongan yang cuba menanam ranjau dan melaga-lagakan kedua-dua pemimpin tersebut sekali gus menampakkan agenda rakus pihak tertentu yang tidak dapat menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Tegasnya, semua pihak perlu berubah menjadi lebih positif demi kepentingan negara kerana saat ini adalah masanya buat Pakatan Harapan (PH) menabur bakti kepada rakyat.

“Kami (PH) serta gabungan Mahathir-Anwar telah pun dipilih dengan penuh air mata dan keringat oleh jutaan rakyat dan akhirnya beroleh kemenangan pada PRU-14 lalu. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, sesungguhnya, tidak semudah itu kami akan melepaskan kejayaan ini.

“Jika benar anak jantan tunggu hingga tiba masanya dan ayuh beradu lagi pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas wawancara eksklusif Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri bersama Pengarang Kanan sebuah akhbar di Putrajaya yang dipetik oleh Berita Harian hari ini berhubung pandangan ikhlasnya kepada Anwar, individu diuar-uarkan bakal penggantinya.

 

Menerusi wawancara tersebut, Dr. Mahathir memuji bekas timbalan beliau itu sebagai seorang yang berpengalaman luas dan merupakan arkitek yang telah membentuk ‘Pakatan Rakyat’ sekali gus menyerlahkan kepemimpinannya.

 

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa supaya terus memberikan sokongan kepada kedua-dua pemimpin tersebut untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara aman, makmur, megah dan berdaulat.

“PKR berikrar akan menjadi jambatan dan tali ikatan kepada semua pihak bagi memastikan persefahaman serta kerja keras antara Mahathir-Anwar terus diperkukuhkan demi memastikan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dibalas dengan jujur, adil dan saksama.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang tidak pernah lekang dan jemu menyatakan kepercayaannya kepada Anwar sebagai pengganti beliau nanti. Sesunggunya gabungan Mahathir-Anwar diibaratkan seperti serumpun bagai serai, seliang bagai tebu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×