PASIR MAS 7 April – Seramai 12,477 daripada 12,703 individu yang dikesan menjadi `hamba’ dadah dalam tempoh lima tahun bermula 2014 hingga 2018 di negeri ini adalah dalam kalangan lelaki.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 10,362 kes baharu berkait penyalahgunaan dadah telah direkodkan manakala 2,341 adalah kes berulang.
“Kota Bharu merupakan penyumbang tertinggi ‘hamba dadah’ membabitkan 2,823 orang.
“Pasir Mas mendududuki tempat kedua (1,687), Tumpat (1,494), Bachok (1,425), Machang (1,062) dan Tanah Merah (1,029). Gua Musang (931), Kuala Krai (791) dan Jeli (384),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Ketua Pengarah AADK Bersama Pemimpin Komuniti dekat Tendong, di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Ketua Polis negeri, Hasanuddin Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Mohammad dan Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad serta pemimpin komuniti.
Zulkifli berkata, dadah sintetik dari jenis pil kuda dan syabu menjadi pilihan utama para penagih di negeri ini untuk melampias ketagihan mereka.
Katanya, sebanyak 90.1 peratus penggunaan pil kuda dan syabu oleh para penagih telah direkodkan sepanjang tempoh lima tahun bermula 2014 hingga 2018 lalu.
“Tangga kedua diduduki oleh dadah jenis opiat iaitu herion sebanyak 46 peratus.
“Dadah jenis Amphetamine Type Stimulant iaitu Ectasy dan Amphetamine berada di kedudukan ketiga iaitu sebanyak 45 peratus seterusnya ganja (0.7 peratus), Psikotropik (0.1 peratus iaitu Eramin 5, Benzodiazepine dan Psikotropik) dan lain-lain (0.1 peratus),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











