Apabila mendengar lirik perenggan awal lagu dendangan Allahyarham penyanyi Saloma berjudul ‘Apa Guna Berjanji’ di atas tadi, kita, apa lagi pengundi dan masyarakat di kawasan Dewan Undangan (DUN) Negeri Rantau, Negeri Sembilan, tentu tersenyum sendirian.
Sebahagian mereka termasuklah orang-orang lama dan `masak dengan sepak terajang’ politik tanah air, pastinya boleh `membaca’ dan menilai janji-janji orang politik.
Tentu sekali janji-janji manis calon-calon parti yang mahu meraih seteguk `undi’ daripada orang ramai.
Kita terkejut sebentar bila menjelang masuk minggu kedua kempen PRK Rantau, tiba-tiba ada pula rancangan daripada pemimpin DAP mahu jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilencongkan ke Negeri Sembilan. Tentu sekali termasuk Rantau sebelum baru patah balik ke Pelabuhan Klang.
Rupa-rupanya itu baru di peringkat cadangan. Dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pun baru mengesahkan perkara berkenaan semalam yang keputusan itu katanya, `dijangka dicapai’ dalam lawatan Perdana Menteri ke China hujung bulan ini – yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.
Itupun kata Anthony lagi, perubahan laluan projek dibuat “sekiranya ECRL diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China.”
Kalau difikirkan secara logik, bukan jumlah yang sedikit jika jajaran ECRL ditambah untuk dilencongkan. Ini pasti sekali melibatkan pertambahan kos berpuluh bilion ringgit.
Lagi pun, projek berkenaan hanya akan diteruskan sekiranya kos pembinaannya dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion. Banyak jumlah pengurangan kosnya itu.
Realitinya, begitu banyak kisah `menabur janji’ dibuat bukan semasa PRK Rantau sahaja, tetapi telah terjadi `sejak zaman berzaman’ sepanjang siri PRK yang lepas.
Dan kita pastinya teringat kisah-kisah mencuit hati dan lucu semasa kempen PRK Semenyih tempoh hari.
Semasa kempen PRK itu, seorang calon tiba-tiba menjanjikan hospital baharu di Semenyih sehinggakan cepat-cepat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyanggahnya.
Kata Dzulkefly, pembinaan mana-mana hospital perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan dan kepadatan penduduk.
Elok agaknya diperdengarkan semula sanggahan Dzulkefly yang sebenarnya boleh digunapakai dalam mana-mana kempen pilihan raya:
“Sesiapa sahaja boleh buat janji tetapi kami mengharapkan janji-janji itu lebih munasabah.”
Semalam, seorang rakan mengirimkan mesej dari aplikasi WhatsApp kepada telefon bimbit penulis yang berbunyi:
“DAP ni kalau bercakap memang tak fikir dulu ke? Adakah lepas ni dari Rembau, ECRL akan ke Sandakan dulu sebelum ke Port Klang atau akan singgah semua kawasan yang ada PRK?
PRK Sandakan akan berlangsung 11 Mei depan.
Eh! Jom dengar balik lagu “Apa guna berjanji” tadi. – UTUSAN ONLINE











