KUALA LUMPUR 6 April – Keputusan kerajaan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat.
Hujah berlakunya kekeliruan terhadap perkara itu dan menjadi bahan politik adalah alasan kenapa kerajaan terpaksa bertindak sedemikian.
Isu pokok yang menjadi perdebatan adakah kedudukan raja-raja akan tergugat jika Malaysia menandatanganinya.
Berikutan itu Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan keselamatan bagi membolehkan kita memahami apa sebenarnya Statut Rom dan sejauh manakah ia dikaitkan dengan kedaulatan negara serta kedudukan Raja-Raja. Berikut antara maklumat diperolehi:
KESAN KEPADA RAJA-RAJA
• Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa untuk meluluskan apa juga undang-undang yang berkaitan kedudukan raja-raja dan meneliti dasar negara yang tertentu bersama kerajaan.
• Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera disentuh dalam Perkara 27 dan 28 (a) Statut Rom. Oleh itu Statut Rom perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja kerana memberi kesan kepada keistimewaan dan kedudukan raja-raja.
• Apabila dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja berhadapan risiko dibicarakan di ICC kerana undang-undang sedia ada di negara ini tidak boleh menyiasat dan mendakwa Seri Paduka dan Raja-Raja.
• Malaysia akan terikat dengan semua 128 perkara dalam Statut Rom tanpa pengecualian seperti dinyatakan dalam Perkara 120 Statut Rom.
• ICC tidak mempunyai halangan untuk mengambil tindakan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara biarpun Seri Paduka mempunyai kekebalan dalam Perlembagaan.
• ICC ada kuasa untuk menentukan sama ada negara anggota berada dalam kedudukan ‘tidak mahu atau tidak mampu’ dalam menangani sesuatu jenayah.
UNDANG-UNDANG SYARIAH TERGUGAT
• Tindakan yang diambil ke atas perlakuan seks sejenis oleh Mahkamah Syariah akan dikategorikan sebagai jenayah penindasan memandangkan Perkara 7 Status Rom mengkategorikan ia di bawah ‘Jenayah Terhadap Kemanusiaan’.
BAGAIMANA NEGARA LAIN?
• Negara-negara besar dunia seperti Amerika Syarikat, India, China, Rusia, Indonesia dan Iran tidak sertai.
• Hanya sembilan negara di Asia Tenggara sertai.
• Dua negara di Asia Tenggara iaitu Brunei dan Thailand yang mempunyai sistem monarki tidak menjadi ahli demi lindungi kedudukan raja mereka manakala Filipina ikuti langkah Burundi menarik diri menjadi ahli.
• Daripada 193 anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), 122 menjadi ahli Statut Rom.











