Hari jadi terakhir Yati - Utusan Malaysia

Hari jadi terakhir Yati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suara Tini ketawa jelas di pendengaran saya. Terkekeh-kekeh, hingga saya yang sedang mencuci pinggan di sinki pun terasa geli hati.

“Apalah yang dibuatnya dalam bilik sampai ketawa seorang diri tu,” saya berkata-kata di dalam hati. Saya yang mendengarnya pun rasa hendak tergelak.

Tini ini umurnya empat tahun, sangat petah bercakap dan suka bercerita. Kalau diusik, pasti dia akan ketawa. Ketawanya pula panjang dan kuat. Dalam sepuluh orang budak yang kami jaga di nurseri ini, Tinilah yang paling menghiburkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekarang Jumaat, pukul 7.35 malam, 10 minit selepas masuk waktu maghrib. Hanya tinggal Tini seorang saja di nurseri tempat saya bekerja ini. Budak-budak lain semua sudah balik. Selepas mandi, Tini masuk ke bilik saya untuk menyalin pakaian.

Waktu itulah saya dengar dia ketawa seorang diri. Saya dapat dengar dengan jelas sebab bilik itu bersebelahan dengan dapur dan pintunya terbuka.

Saya tutup paip. Sewaktu menelangkupkan pinggan mangkuk yang baru dibasuh tadi ke dalam bakul besar, saya dengar pula Tini bercakap. Kemudian dia ketawa lagi.

“Hihihiiiihiii…. Hihihiiiii” ketawanya kuat, seolah-olah sedang bermain berdua.

Apabila mendengar Tini bercakap seorang diri dan ketawa begitu lama, timbul rasa pelik di hati saya, sebab belum pernah pula saya dengar dia ketawa dan bercakap seorang diri.

Hendak kata dia sedang menonton televisyen, mustahil. Televisyen di ruang tamu dah ditutup. Dia ketawa kerana membaca buku? Tidak juga sebab Tini belum tahu membaca.

Lantas saya diamkan diri, berhenti mengemas meja makan dan memasang telinga. Ketika itulah saya dengar sesuatu. Darah saya berderau, roma di tengkuk berdiri tegak. Ya Allah, betulkah apa yang saya dengar ini?

“Akak ni… janganlah buat muka jin lagi,” kata Tini lalu ketawa terkekeh-kekeh.

Akak? Saya terus berdiri di sisi meja. Tangan saya menggeletar.

“Hari ni akak cantiklah,” sambung Tini dan terus ketawa.

Ya, Tini menyebut perkataan ‘akak’. Saya tak syak lagi. Dada saya berdebar. Bersama air mata yang bergenang, saya bergegas untuk mendapatkan Tini.

DINDING

Sewaktu sampai di pintu bilik, saya lihat Tini sedang duduk di atas katil. Badannya menghadap ke dinding dan membelakangkan saya. Dia ketawa sambil tangannya menepuk-nepuk angin seperti sedang bermain dengan seseorang.

Namun beberapa detik selepas saya sampai, Tini tiba-tiba terdiam. Dia berhenti daripada menepuk angin, kemudian memandang ke kiri dan kanan.

“Akak! Akak! Akak pergi mana tu?” dia memanggil dan berdiri memandang dinding seolah-olah melihat sesuatu.

Saya terus capai tangan Tini dari belakang dan membawanya ke ruang tamu. Duduk di situ, saya minta Tini ceritakan dengan siapa sebenarnya dia berbual dan ketawa tadi? Saya dengar Tini sebut ‘akak’. Adakah Tini maksudkan ‘akak’…

“Ya lah… Kak Yati. Dia usik-usik Tini, buat muka jin… hihihi,” Tini ketawa lalu membuat mimik muka dengan lidah terjelir dan mata terbeliak.

“Kak Yati?”

“Ya lah,” jawab Tini.

Kalau boleh saya mahu Tini terus bercerita, tetapi disebabkan ibunya sudah sampai dan saya perlu segera menunaikan solat maghrib, hasrat itu saya tangguhkan.

“Esok cerita lagi, ya,” kata saya sewaktu menghantar Tini ke kereta, dan dia mengangguk.

TIDUR

Pukul 8.30 malam, saya minta kebenaran Puan Jamilah, pemilik nurseri, untuk tidur di rumah kawan saya, Zila. Esok sebelum subuh saya datang semula. Dia benarkan.

Sewaktu melangkah ke rumah sewa Zila yang letaknya 100 meter dari nurseri, saya teringat sesuatu. Biasanya apabila hendak bermalam di tempat lain, saya akan letakkan surah Yasin di atas bantal. Amalan itu telah saya lakukan sejak tinggal di nurseri ini sebagai mengikut pesanan Yati. Tapi disebabkan tadi terkocoh-kocoh, saya terlupa untuk letakkannya.

“Tak apa lah, sekali aje.”

Sampai di rumah Zila, dia terus mengajak saya makan malam. “Rindulah, dah beberapa hari tak jumpa kau,” kata saya apabila dia bertanya kenapa saya tiba-tiba hendak bermalam di rumahnya.

Zila ketawa. Saya pun ketawa sama, tetapi dia tidak tahu. Sebenarnya itu hanya luaran saja, sedangkan perasaan di hati saya ini bercampur baur. Ada sesuatu yang saya simpan. Saya tidak ceritakan padanya apa yang berlaku tadi.

Seperti dijanjikan, sebelum subuh lagi saya sudah buka nurseri. Pukul 6.30 pagi, Kak Jamilah tiba. Tidak lama kemudian, Tini pula sampai.

CERITA

Pukul 3 petang, ketika kebanyakan kanak-kanak itu tidur, saya bawa Tini ke dalam bilik dan minta dia ceritakan apa yang berlaku semalam. Inilah cerita Tini, cerita yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Cerita yang misteri, sekali gus membuatkan saya berasa cukup sedih.

Kata Tini; “Kak Idah bohong! Kak Idah cakap Kak Yati dah meninggal, tapi kalau dah meninggal kenapa petang semalam dia ada dalam bilik, main-main dengan Tini?”

Sambung Tini, semalam Kak Yati mengusiknya dengan membuat muka macam jin, mata terbeliak, lidah terjelir. Itu yang menyebabkan dia ketawa panjang. Yati memang suka mengusik Tini begitu.

“Kata kak Yati, dia datang sekejap aje sebab dia dah pindah jauh. Lepas ni tak jumpa Tini lagi. Tempat baharunya cantik, banyak bunga, wangi. Orang di sana semua baik-baik. Kak Yati cakap, dia nak jumpa Tini, nak main tepuk-tepuk tangan macam selalu. Masa itu lah Kak Idah datang. Terus Kak Yati hilang…”

Hilang ke mana? Saya bertanya.

“Hilang dalam dinding,” jawab Tini.

Tini juga beritahu saya, kak Yati memakai tudung dan telekung putih. Baunya harum, macam bau bunga.

AIR MATA

Selesai Tini bercerita, saya menangis. Yati adalah pekerja nurseri ini, sama seperti saya. Kampungnya di Temerloh, Pahang, saya pula dari Gerik, Perak. Sudah hampir tiga tahun kami bekerja di nurseri Kak Jamilah, di Ampang, ini. Kami tidur sebilik, itu yang menyebabkan hubungan kami sangat rapat.

Yati menghidap jantung berlubang. Seminggu sebelum hari jadinya yang ke-29, Yati memberitahu kami, dia mahu menyambutnya dengan tema serba putih. Dia mahu beli kek putih, pakaian putih dan kanak-kanak yang dijaga di nurseri ini juga kena datang dengan pakaian putih.

Kenapa putih, saya bertanya.

“Sebab kita lahir putih, balik nanti pun putih juga,” jawab Yati.

Berderau darah saya dengar jawapan Yati itu. Tidak disangka, rupa-rupanya itu petanda Yati akan pergi. Tiga hari sebelum hari jadinya, Yati meninggal dunia akibat serangan jantung. Jenazahnya dikebumikan di kampung, dia pulang dalam keadaan `serba putih’.

Mendengar cerita Tini tadi, sekarang fahamlah saya kenapa semalam Yati datang ke nurseri ini dan berjumpa dengan Tini, sebab semalam adalah hari jadinya. Hari jadi yang tidak sempat disambut. Dan, dia datang dengan pakaian serba putih, bersama bau harum.

Sebenarnya, maghrib semalam sewaktu saya lihat Tini sedang bermain seorang diri, bilik saya itu berbau bunga mawar. Saya dapat menghidunya, walaupun sekejap, bagaikan melintas di hidung.

Bukan itu saja, subuh tadi, sebaik sahaja masuk ke bilik selepas pulang dari rumah Zila, saya terkejut. Ada kitab surah Yasin di atas bantal saya! Kitab yang biasa dibaca oleh Yati setiap malam Jumaat.

(Semoga roh sahabat saya, Hayati Ahmad, yang meninggal dunia pada Selasa, 5 April 2011 ditempatkan di sana bersama para solehah. – Rohaidah, Seremban, Negeri Sembilan.)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini