KOTA BHARU 6 April – Pas bimbang keyakinan masyarakat terhadap masa depan institusi kewangan Islam terulung di negara ini, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) semakin terjejas disebabkan kenyataan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menimbulkan pelbagai persepsi.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Tabung Haji perlu dipertahankan kerana institusi kewangan tersebut berjaya memainkan peranannya untuk mengumpul modal yang besar daripada umat Islam.
Beliau berkata, perkembangan mutakhir ini memungkin sebahagian besar daripada pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.
“Ini memberikan kesan kepada sebuah institusi Islam yang besar. Saya rasa selama ini Tabung Haji berjaya memainkan peranannya sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang besar modalnya.
“Perkara ini perlu dipertahankan sebab bukan senang untuk mengumpul wang orang Islam dalam satu tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Muslimat Pas negeri ini di Pusat Tarbiyah Islmiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan, Siti Zailah Yusoff.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan untuk mengagihkan hibah sebanyak 1.25 peratus semalam.
Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, penjelasan kerajaan terlalu teknikal dan sukar difahami oleh orang ramai.
“Kerajaan yang ada hari ini memberikan sebabnya (hibah rendah pada tahun ini) tetapi ada orang menjawab, kita orang biasa dalam dilema yang mana satu betul, saya mengambil pandangan orang biasa yang tidak berpuas hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE










