KUALA LUMPUR – Syarikat francais luar dialu-alukan untuk melebarkan sayap di negara ini dengan menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan mereka, sekali gus mengukuhkan pasaran masing-masing di rantau Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kemakmuran rantau ini seharusnya berupaya menarik perhatian para pelabur dan Malaysia secara khusus boleh menjadi platform untuk syarikat berkenaan melancarkan produk serta perkhidmatan masing-masing bagi pasaran baharu.
“Persekitaran yang mesra perniagaan dan kerajaan properniagaan seharusnya meyakinkan anda bahawa Malaysia adalah pilihan yang tepat sebagai hab pelaburan,” katanya ketika berucap pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (FIM2019) di sini semalam.
Beliau seterusnya merasmikan FIM2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; timbalannya, Chong Chieng Jen dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan.
FIM2019 merupakan pameran francais terbesar di Asia Tenggara yang mana ia dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan MFA.
Ia mendapat penyertaan lebih daripada 100 buah syarikat francais tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada 13 buah negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Turki, Jepun dan Filipina.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, menerusi inisiatif Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP), sebanyak 66 jenama daripada syarikat tempatan telah menembusi pasaran di 65 buah negara asing berbanding 12 jenama tempatan di 12 buah megara.
“Lima negara teratas dalam senarai penembusan pasaran oleh syarikat francais tempatan ialah Indonesia dengan 21 jenama; Singapura (20 jenama); China (19 jenama); Emiriah Arah Bersatu (15 jenama) dan India (12 jenama).











