KUALA LUMPUR 5 April – Walaupun rakyat Malaysia majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, hakikatnya negara ini masih ‘ketandusan’ intelektual kaum itu.
Kebimbangan itu disuarakan oleh pakar bahasa dari Jabatan Linguistik Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar yang berkata, bahasa itu kini hanya diguna pakai sehingga ke peringkat universiti, namun tidak ke tahap penghasilan kajian intelektual.
Katanya, bagi memartabatkan bahasa Melayu yang sebenarnya digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara, beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk Bahasa Melayu Di Daratan Asia Tenggara: Pendekatan Sejarah dan Geolinguistik.
“Buku ini memberi lakaran situasi penggunaan bahasa Melayu di Thailand, Kemboja dan Vietnam dengan berpedomankan teori geolinguistik.
“Ini melibatkan penelitian pelbagai landskap seperti sejarah masa silam, budaya serta politik dan perkembangan sosial yang telah berlaku,” katanya kepada Utusan Online selepas pelancaran buku tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Buku yang mengambil masa kajian selama setahun di tiga negara tersebut mengetengahkan fungsi bahasa Melayu sebagai alat pengajaran agama Islam dalam komuniti di negara berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan bahasa Melayu di negara ini termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Asmah menegaskan bahasa tersebut perlu dipertahan dan dipertingkatkan.
“Pertingkat dan pertahankan bahasa Melayu. Jangan beri bahasa lain masuk. Kita ada Perlembagaan dan akta pendidikan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
“Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk memajukan kita, tetapi kerajaan dahulu adil kerana bahasa Mandarin diberi tempat di sekolah jenis kebangsaan Cina), bahasa Tamil diberi tempat di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Bahasa lain boleh untuk dijadikan Pupil’ Own Language (POL),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











