KUALA LUMPUR 5 April – Bursa Malaysia dibuka positif seiring dengan kebanyakan bursa serantau, tetapi pelabur menjangkakan dagangan yang berhati-hati berikutan mereka terus memantau kemajuan dalam rundingan perdagangan AS-Sino, kata peniaga.
Katanya, data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kurang memberangsangkan semalam dijangka turut mempengaruhi aliran masuk dana dalam bursa tempatan.
Pada pukul 9.06 pagi, indeks naik 0.02 mata kepada 1,645.09 daripada 1,645.07 semasa ditutup pada Khamis.
Ia dibuka tinggi 0.1 mata kepada 1,645.08.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 110 berbanding 96, manakala 187 kaunter kekal tidak berubah, 1,453 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 209.46 juta saham bernilai RM47.19 juta.
Daripada saham wajaran tinggi di Bursa, Maybank tidak berubah pada RM9.27, Public Bank susut 14 sen kepada RM22.84, PetChem meningkat 13 sen kepada RM9.23 dan Tenaga menambah empat sen kepada RM12.60.
Dalam kalangan saham aktif, Scomi yang meneruskan dagangan hari ini menambah enam sen kepada 12.5 sen, EA Holdings tidak berubah pada 1.5 sen, Scomi Energy dan Priceworth, masing-masing susut setengah sen kepada 12.5 sen dan 6.5 sen.
Scomi mencapai penyelesaian dengan Prasarana Malaysia Berhad semalam berhubung perkhidmatan KL Monorail sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Indeks FBM Emas susut 2.03 mata kepada 11,614.43, Indeks FBMT 100 turun 1.01 mata kepada 11,454.14 dan Indeks FBM Ace merosot 3.23 mata kepada 4,823.30.
Indeks FBM Emas Syariah naik 13.94 mata kepada 11,807.57, bagaimanapun FBM 70 susut 5.89 mata kepada 14,419.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 17.43 mata kepada 16,905.34, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.94 mata kepada 170.47 dan Indeks Perladangan meningkat 2.39 mata kepada 7,209.87. – BERNAMA











