KOTA BHARU – Arena bola sepak Kelantan di ambang pengakhiran apabila Syarikat Myinspiration Sdn. Bhd. membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan yang dimeterai dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fazli Mohammad berkata, selaku pemegang terbesar saham dalam Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd. keputusan itu dibuat selepas hilang kepercayaan dan sabar terhadap badan Kafa yang tidak menghormati kontrak dimeterai sebelum ini.
Menurutnya, ekoran pembatalan perjanjian itu beliau melalui peguamnya akan menyerahkan semula KRW Sdn. Bhd kepada pemilik asalnya iaitu Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan.
Ujarnya, selepas kontrak dimeterai pada 24 Januari lalu Myinspiration Sdn. Bhd menjadi pemegang saham terbesar KRW Sdn. Bhd menerusi proses pengambilalihan dengan pegangan saham 70 peratus selebihnya dimiliki Bibi Ramjani.
“Selaku Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd dan pemegang saham terbesar, sejurus perjanjian dimeterai Bibi Ramjani wajib menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan seperti akaun bank, buku cek, kontrak pemain, penajaan serta hutang lama Kafa sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian.
“Namun proses itu tidak berlaku dan kami sedar proses itu mungkin mengambil sedikit masa. Jadi ruang terus diberikan kepada Bibi Ramjani sehingga 24 Mac iaitu genap dua bulan perjanjian dimeterai,” katanya.
Fazli memberitahu, bagaimanpun pihaknya hanya menerima dokumen berkaitan dengan kontrak pemain Liga Perdana, Piala Presiden dan Belia sahaja pada 6 Mac ketika pertemuan antara rakan kongsi dan peguam bersama barisan kepimpinan Kafa di Bangsar.
Katanya, dalam pertemuan 6 Mac itu juga Myimnspiration turut menyatakan hasrat untuk menarik diri dan membatalkan perjanjian yang dimeterai dengan badan induk tersebut.
“Selepas pertemuan itu, saya dan rakan-rakan kongsi masih memberi ruang kepada Kafa sehinggalah 24 Mac lalu.
“Namun Bibi Ramjani terus gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan termasuklah akaun. Pada 25 Mac lalu kami berpandangan kontrak ini akan dibatalkan,” ujarnya.
Ahmad Fadli berkata, My Inspiration ke Kota Bharu bukan untuk ambik duit KAFA tetapi untuk membantu menstruktur semula hutang yang membelenggu persatuan dan menguruskan persatuan secara lebih profesional.
Katanya, beliau turut terkilan apabila banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn. Bhd. di sebalik segala masalah yang membelenggu bola sepak Kelantan sedangkan Bibi Ramjani sendiri gagal menyerahkan akaun bank dan buku cek kepada pihaknya.
“Kami telah bertolak ansur begitu banyak daripada segi wang ringgit yang sepatutnya bukan tanggungjawab kami tetapi KRW. Berdasarkan senarai kami telah dahulukan RM300,000 sebagai pinjaman untuk bayar gaji pemain selain RM100,000 bagi bayaran lain.
“Selain itu, pembatalan ini juga dibuat kerana Kafa mengambil keseluruhan hasil jualan tiket perlawanan Kelantan menentang Sabah, pada 8 Februari berjumlah RM130,000. Sebenarnya Kafa tidak ada hak untuk ambil duit itu kalau ikut perjanjian dan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank KRW.
“Yang saya terkilan mereka (Kafa) tahu perkara sebenar tapi masih tuding jari kepada KRW sedangkan kita tidak ada keupayaan disebabkan kelemahan mereka,” ujarnya. – K! ONLINE











