KOTA BHARU 4 Apr. – Polis Kelantan merampas dadah bernilai lebih RM2.6 juta selepas menahan tujuh suspek berusia antara 17 hingga 51 tahun termasuk empat wanita dalam tiga serbuan berasingan, kelmarin.
Serbuan itu dilakukan di Kota Bharu, Pasir Mas dan Gua Musang antara pukul 5.30 petang hingga 9.30 malam oleh pegawai dan anggota narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) daerah masing-masing.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Jong, Repek, Pasir Mas pukul 5.30 petang yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas 6,000 pil yaba seberat 675 gram yang dijumpai di dalam bungkusan warna hitam. Polis juga menemui dadah jenis syabu seberat 55 gram di dalam beg kecil warna coklat.
“Serbuan kedua pula di sebuah rumah di Kampung Kubang Rawa, di sini yang membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 31 tahun dan rampasan 112,000 pil yaba bernilia RM1.68 juta yang disimpan dalam peti besi di dalam sebuah bilik.
“Kita percaya dua kes ini mempunyai kaitan dan mereka dipercayi mengedar dadah untuk pasaran Pasir Mas dan Kota Bharu sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, susulan serbuan pertama dan kedua, polis membuat serbuan ketiga di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang pukul 9.30 malam sekali gus menahan lima suspek terdiri empat beranak dan seorang jiran mereka wanita warga Thailand.
“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 50.7 gram dan 4,370 pil yaba yang bernilai RM110,050,” katanya.
Kata beliau, dalam ketiga-tiga serbuan itu, polis turut menyita sebuah Proton Preve, Perodua Kelisa, Perodua Kancil, Motosikal Yamaha Y150, Honda Wave dan HondaEX5 milik suspek-suspek berkenaan.
Kesemua tujuh suspek ditahan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











