DALAM tempoh kira-kira dua minggu sahaja, video persembahan ‘budak sekolah’ bermain caklempong ini mendapat tontonan lebih satu juta kali dalam laman YouTube. Aksi dan gaya tersendiri pelajar tingkatan satu hingga lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu mendendangkan lagu Ddu-Du-Ddu-Du, lagu daripada kumpulan Korea, Black Pink berjaya memikat pengguna media sosial.
Video yang dirakam di dalam sebuah bilik di sekolah itu tular dan secara tidak langsung menarik minat orang ramai kepada seni muzik tradisional Melayu itu. Realitinya, kumpulan yang dikenali sebagai Lentera Kesuma ini bukan calang-calang apabila pernah memenangi dua pertandingan di peringkat kebangsaan dalam tempoh dua tahun lalu.
Kumpulan itu muncul juara Festival Kesenian Muzik Tradisional MRSM Se-Malaysia (Fesma) Kali Ke-6 pada 2017 dan Anugerah Emas Festival Kesenian Muzik Sekolah-sekolah Menengah Malaysia 2018 (Kategori Caklempong).
Menariknya, kumpulan yang dianggotai pelajar belasan tahun dengan ahli paling muda berusia 13 tahun itu berjaya menggondol anugerah peringkat kebangsaan pertama, kira-kira enam bulan selepas ditubuhkan.
Mengulas kejayaan dan populariti pantas diraih kumpulan itu, pengurusnya, Nurin Alyani Bizaini berkata, ia tidak datang bergolek, malah menagih pengorbanan dan kerja keras pelajar dan guru.
Guru Penasihat Kelab Kebudayaan MRSM Kuala Klawang itu berkata, kumpulan caklempong itu ditubuhkan di MRSM Kuala Klawang pada 2007. Ia kemudian diberi nafas baharu menerusi penubuhan Lentera Kesuma pada 2017.
“Ketika saya membentuk pasukan ini, hanya ada seorang pelajar yang berpengalaman bermain caklempong. Pelajar lain tidak pernah mencubanya walaupun ada dalam kalangan mereka pernah bermain kompang dan alat muzik lain.
“Pemilihan anggota pasukan dibuat melalui sesi uji bakat. Saya dan seorang lagi guru, Noor Suria Hani Ab. Lazis memilih mereka berdasarkan kebolehan bermain alat muzik dan menari serta kesungguhan dalam menjiwai seni muzik ini. Kami gilap bakat pelajar menerusi latihan secara intensif sekurangnya-kurangnya dua hingga tiga jam sehari,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Umpama melentur buluh daripada rebung, begitu jugalah usaha melatih pelajar ini memahirkan diri dengan seni tradisi yang agak asing dengan jiwa remaja.
Berasakan diri bertuah kerana memiliki pelajar pintar dan gigih, Nurin Alyani mengakui mereka cepat memahami apa yang diajar, malah sebahagiannya berbakat besar dalam seni muzik.
“Dalam tempoh dua minggu, mereka sudah dapat hafal chords. Kelebihan mereka adalah mampu mengubah lagu sendiri dan setiap rentak lagu diolah menggunakan idea kreatif supaya lebih unik dalam persembahan.
Jurulatih profesional
“Semangat kerjasama mereka tinggi. Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut kebolehan masing-masing iaitu gubahan lagu, mereka koreografi tarian dan nyanyian atau sorakan. Kita wujudkan suasana seperti keluarga yang saling membantu dan ambil berat satu sama lain dalam kumpulan ini,” katanya.
Nurin Alyani, berkata, mereka turut didedahkan dengan tunjuk ajar oleh jurulatih profesional dari Indonesia, Mawlid Zaenie bagi meningkatkan kemahiran bermain alat muzik caklempong pada setiap malam Jumaat atau Sabtu.
“Mereka juga dibawa menyertai beberapa pertandingan dan persembahan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa bagi menimba ilmu dan pengalaman baharu. Ini banyak membantu Lentera Kesuma menampilkan persembahan menarik,” katanya.
Mengulas video yang tular itu, guru Bahasa Melayu itu memberitahu, pelajar mengambil masa kira-kira seminggu untuk memahirkan diri mendendangkan lagu Korea itu menggunakan alat muzik caklempong.
“Mereka menyahut cabaran saya apabila berjaya menggunakan kemahiran masing-masing untuk mencari rentak sesuai dengan lagu kumpulan K-Pop itu tanpa tunjuk ajar guru,” ceritanya.
Video itu lebih istimewa kerana menampilkan gerak tari, sorakan, nyanyian, penghayatan dan gaya kreatif yang menjadi identiti dalam setiap persembahan Lentera Kesuma.
Mengenai kritikan segelintir pihak berhubung penggunaan lagu Korea dalam caklempong, Nurin Alyani menjelaskan, ia dibuat bagi menarik minat masyarakat dari pelbagai peringkat umur untuk mengenali caklempong yang kian dilupakan.
“Ia membuktikan alat muzik ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana bukan hanya boleh memainkan lagu-lagu tradisional tetapi juga lagu moden.
Pelajar sebenarnya sudah mahir memainkan 50 buah lagu tradisional Melayu selain 10 lagu moden,” ujarnya. Antara lagu klasik yang kerap dipersembahkan ialah Ayam Den Lapeh, Kapeh, Ujang, Mudiak Arau, Andam Oi dan Selendang Mak Inang.
Sementara itu Pengetua MRSM Kuala Klawang, Kherman Shah Ibrahim, berkata, pihaknya bangga dengan kejayaan Lentera Kesuma dan yakin mereka mampu mengembangkan potensi dalam bidang seni selaras dengan konsep pembelajaran holistik.
“Pelajar sentiasa diberi ruang meningkatkan kebolehan diri. Caklempong bukan sahaja seni tetapi juga disiplin. Kita tapis pelajar dan dalam masa yang sama kita pantau prestasi pelajaran mereka,” katanya.
Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Kuala Klawang, Mohamad Nizam Asmuni pula berkata, kumpulan itu kini menyasarkan untuk membuat persembahan di luar negara sekali gus memartabatkan seni ini ke peringkat antarabangsa.
“Bagi memastikan kumpulan ini terus bertahan, usaha mencari bakat pelapis baharu dalam kalangan pelajar sentiasa dibuat manakala sebuah alumni akan ditubuhkan bagi meneruskan kegiatan kumpulan tersebut,” katanya.











