JOHOR BAHRU 4 April – Kerajaan negeri akan berhubung dengan Putrajaya bagi memperhalusi data tentang pelaksanaan hab pemindahan kapal ke kapal (STS) terbesar di dunia di perairan negeri tersebut.

Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, kerajaan negeri dalam proses hendak mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenainya.
“Perkara ini bukan isu besar. Saya percaya perkara melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.
“Mengenai pelaksanaan projek STS ini, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian sudah meminta saya untuk mendapatkan maklumat secara terperinci mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Unifi antara Telekom Malaysia Berhad dengan Dynasty View Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Mazlan berkata, pelaksaan projek berkenaan difahamkan berada pada kedudukan 3.5 batu nautika dari pesisir pantai di perairan kawasan Pelabuhan Johor Bahru iaitu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Sekiranya pembangunan itu pada kedudukan melebihi tiga batu nautika, ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan tidak ada keperluan untuk dimaklumkan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Selasa lalu, perjanjian mengenai projek berkenaan ditandatangani kedua-dua pihak di Putrajaya membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan milik bumiputera, KA Petra Sdn. Bhd. dengan syarikat perkapalan terbesar dunia berpangkalan di Hong Kong, Hutchinson Port Holdings Limited.
Kos projek itu dianggarkan berjumlah antara AS$150 juta hingga AS$180 juta (RM612.60 juta hingga RM735.109 juta) yang akan dibiayai menggunakan dana dalaman dan pinjaman dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan jangkaan pelaksanaan awal dalam tempoh 12 bulan. – UTUSAN ONLINE











