Saya rasakan pelukan penuh kasih sayang - Bapa pelajar maut - Utusan Malaysia

Saya rasakan pelukan penuh kasih sayang – Bapa pelajar maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 4 April – Seorang daripada tiga pelajar yang maut dalam kemalangan di Bandar Penawar semalam, Muhammad Syafawi Zayadi, 17, menunjukkan perubahan sikap daripada periang menjadi seorang pendiam secara tiba-tiba.

Petanda itu disedari bapanya, Zayadi Mohamad, 46, kerana Muhammad Syafawi yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sebelum ini tidak berkelakuan seperti itu.

“Dia seorang yang rajin, periang, suka buat kami senang serta tidak menyusahkan keluarga apabila hendak sesuatu sebab dia akan berusaha sendiri, cari duit sendiri dengan membantu ayah rakannya berniaga air di pasar malam.

Memuatkan artikel berkaitan…
ORANG ramai membantu tiga jenazah untuk disembahyangkan di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) L
ORANG ramai membantu tiga jenazah untuk disembahyangkan di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor, sebelum dikebumikan pukul 12 tengah hari tadi. – UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

“Namun dalam dua tiga hari ini Muhammad Syafawi suka menyendiri, tidak banyak cakap serta dua tiga hari ini juga dia memeluk saya dan saya rasa pelukan itu saya rasa penuh rasa kasih sayang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng Timur di sini sebentar tadi.

Zayadi berkata, kenangan itu merupakan memori yang paling diingatinya namun reda dengan ketentuan Ilahi yang terlebih dahulu menjemput putera kesayangannya itu.

ORANG ramai membantu tiga jenazah untuk disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam
ORANG ramai membantu tiga jenazah untuk disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor, pukul 12 tengah hari tadi. – UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

Muhammad Syafawi merupakan seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di laluan Kota Tinggi-Bandar Penawar berhampiran Simpang Felda Lok Heng di sini pukul 6.31 petang semalam.

Kejadian itu mengorbankan Muhammad Syafawi serta dua rakannya, Mohamad Noriman Bastamam, 17, dan Daing Mohammad Afeeq Mohd. Ateeq-ur Rahman, 16, yang menaiki kereta Proton Wira.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala guru pengiring mereka yang juga pemandu kereta Proton Wira, Widyawati Simarani, 46, patah kaki serta pemandu Perodua Myvi, Naziha Aqmaliah Mazlan, 24, turut cedera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini