PUTRAJAYA 4 April – Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang direman berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan dianggarkan bernilai RM28,000 dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Suspek berusia 47 tahun itu yang sebelum ini direman selama empat hari sejak kelmarin mendapat perintah bebas reman daripada Majistret Noraisyah Mohd. Yusof dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin.
Tempoh reman lelaki itu sepatutnya berakhir esok, namun dibebaskan sehari lebih awal iaitu pada hari ini.
Terdahulu, lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9 pagi ini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan kementerian terlibat.
Pada Isnin lalu, suspek ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini ketika hadir memberi keterangan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan penahanan tersebut untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam kenyataan sebelum ini juga mengesahkan Setiausaha Politik beliau telah ditahan oleh pihak SPRM untuk siasatan.
Tegasnya, beliau tidak akan campur tangan berhubung penahanan itu di samping akan membiarkan perkara tersebut diadili oleh undang-undang dan Setiausaha Politiknya juga sama seperti rakyat Malaysia lain iaitu tertakluk kepada undang-undang.
Menurutnya lagi, beliau berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang serta yakin dan percaya bahawa SPRM akan menyiasat kes itu dengan adil dan bebas. – UTUSAN ONLINE











