Berkongsi rezeki Allah - Utusan Malaysia

Berkongsi rezeki Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERUSKAN tradisi masakan ibu bukan sesuatu yang luar biasa bagi menjadikan sesebuah restoran dikenali ramai. Namun, apa yang begitu luar biasa adalah menjadikan tradisi memberi makan secara percuma kepada golongan gelandangan.

Itulah yang dilakukan oleh Kazi Mannan, pemilik restoran Sakina Halal Grill yang terletak hanya beberapa blok dari White House di Washington D.C. dengan memberi makanan secara percuma kepada ratusan gelandangan hampir setiap hari.

Tidak hairanlah pada waktu makan tengah hari, ada sesetengah pelanggannya bukan dalam kalangan yang biasa dilihat di mana-mana restoran popular atau mewah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelanggan yang makan bersama dengan ahli perniagaan itu adalah golongan gelandangan. Keadaan pakaian dan kasut mereka cukup berbeza dengan yang memakai kot, bertali leher serta berkasut kulit.

Tetapi bagi Kazi, itu bukan suatu perbezaan. Beliau akan melayan sama rata, bermula dengan berjabat tangan dan bertanya soalan: “Sudah makan tengah hari?”

Inilah peranan setiap makanan yang ada di Sakina Halal Grill. Ini kerana, Kazi berjanji bahawa sesiapa yang memerlukan makanan, walaupun tidak mempunyai wang untuk membayar, mereka boleh mengambilnya secara percuma.

“Saya pernah berdoa kepada Allah SWT, jika saya memiliki sebuah restoran, saya akan buat pengumuman pada hari pertama ia dibuka yang saya akan bawa masuk gelandangan.

“Kamu boleh datang ke sini seberapa kerap kamu suka, saya tidak akan menghalangnya.Anda boleh makan secara percuma secara bermaruah. Kami akan layan sama seperti pelanggan yang lain,” katanya.

PERNAH LALUI

Antara sebab utama Kazi menolong golongan gelandangan kerana beliau pernah melalui saat sukar ketika membesar di Pakistan suatu ketika dahulu.

Beliau antara 11 beradik yang membesar di Kuri, sebuah perkampungan kecil di Pakistan. Ketika itu rumah mereka tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau bangunan untuk belajar. Kelas pembelajaran dibuat di bawah pokok, dan jika hujan, kelas itu dibatalkan.

“Ibu saya…saya benar-benar menghargai bagaimana beliau mengajar kami untuk beribadat kepada Allah SWT iaitu melalui teladan,” kata Kazi.

Bila memasak untuk makan malam, ibu Kazi, Sakina akan menyuruh anaknya untuk menghantar makanan kepada jiran-jiran walaupun bekalan makanan untuk mereka benar-benar terhad.

“Itulah cara dia beribadat kepada Allah SWT,” katanya.

Berkongsi pengalaman ketika berhijrah ke Amerika Syarikat, Kazi hanya membawa bersamanya AS$3 (RM12). Dia mengambil keputusan berhijrah dengan harapan membantu keluarganya yang hidup susah.

Hanya dalam masa tiga hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, Kazi diambil bekerja di sebuah stesen minyak. Beliau bekerja selama 16 jam sehari, tujuh hari seminggu. Semua wang yang diperoleh akan dihantar ke kampung halaman.

Siapa sangka nasibnya bertambah baik apabila bertemu dengan seorang pemandu Limousine orang kenaman. Pemandu yang juga berasal dari Pakistan itu telah membantunya untuk memperoleh lesen memandu.

Sejak itu, dia berjaya memperoleh pendapatan sebanyak AS$500 (RM2,000) sehari. Ia akhirnya mencukupi untuk membantu keluarga dan menampung kehidupan sehariannya.

REZEKI BERTAMBAH

Setelah bertahun-tahun bekerja keras, Kazi berasakan sudah tiba masanya untuk dia mencari peluang lain yang mampu meningkatkan taraf hidup beliau dan keluarganya di kampung halaman.

“Saya sering memasak di rumah dan ada beberapa kawan yang menyukai masakan saya memberikan kata-kata semangat. ‘Kenapa kamu tidak buka sebuah restoran kerana masakan kamu sangat sedap?.”

Ternyata idea tersebut mula menjadi impian utama Kazi. Ini kerana membuka restoran akan memberi peluang kepadanya untuk bersedekah, seperti yang pernah dilakukan oleh ibunya.

Rezeki menyebelahi Kazi apabila seorang rakan mahu menjual restoran miliknya. Kazi mengambil peluang itu dengan menawarkan wang pendahuluan sebelum membeli dan menukar nama restoran itu kepada Sakina Halal Grill, sebagai mengenang jasa ibunya.

Kazi mengambil abang kandungnya sebagai tukang masak untuk menyediakan resipi tradisi ibunya dan mengalu-alukan kedatangan mereka yang memerlukan makanan.

“Ramai rakan saya berkata…“Jangan biarkan golongan gelandangan itu masuk ke dalam restoran kamu. Mereka akan merosakkan perniagaan kamu nanti.

“Dalam hati saya berkata, saya ada makanan dan ada yang tidak berpeluang merasai masakan itu. Jika saya gagal, gagallah. Saya tidak peduli. Ini adalah kemanusiaan,” katanya.

TUNAI IMPIAN

Pada hari pertama restoran itu dibuka pada 2013, Kazi berjalan ke taman yang berdekatan dan menjemput lebih sekumpulan gelandangan ke restorannya untuk menikmati masakan secara percuma.

Dalam masa lima tahun, jumlah itu terus bertambah. Dianggarkan lebih 16,000 golongan gelandangan telah berkunjung ke restorannya sejak ditubuhkan.

Kepada sesiapa yang mempersoalkan tindakannya itu, Kazi memberi mesej jelas: “Kekalkan nilai kemanusiaan.

“Jika kamu ingin beribadat kepada Allah SWT, tunjukkan nilai kemanusiaan kepada hasil ciptaan-Nya. Dia mencipta kita untuk bersikap penyayang dan cinta.

“Beribadat bukan hanya mengasingkan diri di masjid, kuil atau gereja. Beribadat juga berkenaan tingkah laku kita dalam kehidupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini