STS: Johor tidak tolak - Utusan Malaysia

STS: Johor tidak tolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 April – Perdana Menteri menolak dakwaan kerajaan negeri Johor tidak mengetahui tentang pelaksanaan projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) bernilai lebih RM600 juta yang akan dibina di perairan negeri itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menolak tuduhan bahawa Kerajaan Pusat mengutamakan kroni dalam pelaksanaan projek berkenaan yang akan menjadi hab pemindahan kapal ke kapal terbesar di dunia.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, pembinaan projek STS itu akan menguntungkan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘‘Ini satu projek yang akan menguntungkan Malaysia. Saya tak fikir ada orang yang nak rugikan Malaysia dengan memihak kepada orang lain.

‘‘Semua orang di Malaysia ini kroni saya kerana saya bekerja untuk semua orang termasuk orang Johor,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandata­ngani pembinaan hab pemindahan STS itu di sini hari ini.

Pembinaan STS itu membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan KA Petra Sdn. Bhd., dengan syarikat perkapalan terbesar dunia berpangkalan di Hong Kong, Hutchinson Port Holdings Limited.

Ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri Johor berhubung projek berkenaan, Dr. Mahathir berkata: ‘‘Saya ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan menolak pelaksanaan projek ini. Setakat ini mereka tidak tolak.’’

Berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa tidak tahu tentang projek itu, Dr. Mahathir berkata, beliau hairan kenapa Tunku Mahkota Johor tidak tahu sedangkan projek berkenaan telah dibincangkan sejak tahun lalu.

‘‘Dia ada dalam Johor, ba­nyak orang Johor tahu, dia tak tahu saya hairan. Dia tahu banyak perkara tetapi yang ini tak tahu,’’ katanya.

Dr. Mahathir turut mengulas bantahan Singapura berhubung projek tersebut dengan menegaskan, Malaysia berhak melaksanakan projek terbabit kerana ia dibina dalam perairan negara.

‘‘Singapura tahu berkenaan projek ini. Projek ini dilaksanakan dalam perairan Malaysia bukan di perairan Singapura,’’ tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini