JAKARTA 2 April – Calon Presiden Indonesia nombor dua, Prabowo Subianto berjanji akan mengamalkan pemerintahan yang bebas daripada rasuah sekiranya memenangi pilihan raya Presiden (pilpres), bulan ini.
Lapor Republika.co.id, untuk mencapai hasrat berkenaan, Prabowo akan memilih individu yang pintar dan menyokong visinya sebagai anggota Kabinet dalam memastikan pentadbirannya bersih daripada rasuah.
Menurut Prabowo, mereka yang dilantik menjadi menteri Kabinet perlu bersedia untuk menandatangani surat perjanjian yang akan diumumkan kepada rakyat.
Selain itu, mereka juga perlu bersedia bekerja untuk rakyat dan berjanji tidak akan menggunakan kedudukannya bagi kepentingan peribadi, keluarga atau kenalannya.
“Kalau tidak bersedia menandatangani surat berkenaan, saya tidak akan melantik mereka,” kata Prabowo, semalam.
Beliau berkata demikian semasa berkempen di gelanggang olahraga Satria Purwokerto., di sini.
Prabowo dikatakan ingin membentuk corak pemerintahan yang bersih kerana sikap ahli politik tertinggi yang selama ini mudah disogok sehingga menyebabkan kekayaan negara ‘dirompak’ oleh pihak tertentu.
“Kalau kerajaan terus terbabit rasuah, ia menyebabkan kehancuran kepada bangsa, negara dan rakyat,” tegas Prabowo.
Dalam perkembangan berlainan, Prabowo turut menyindir pihak yang mendakwa dirinya menyokong Indonesia menjadi negara khalifah, baru-baru ini.
“Ada pihak yang menuduh saya menyokong khalifah. Namun ternyata yang menuduh khalifah itu, dialah yang mewujudkan khalifah,” kata Prabowo. – AGENSI











