ISLAMABAD 2 April – Pakistan mendakwa pasukan tentera India melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera negara ini di wilayah Kashmir, menyebabkan tiga anggota tentera terbunuh dan seorang lagi cedera.
Sehubungan itu, Pakistan membalas serangan tersebut yang berlaku di pekan Rakhchakiri di wilayah Kashmir yang dikawal negara ini.
Seorang petani Pakistan turut maut dalam serangan balas tentera India di Niaza Per, semalam.
Arab News melaporkan, New Delhi belum membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan Islamabad setakat ini.
Hubungan tegang antara Pakistan dan India memuncak selepas berlaku insiden pengebom bunuh diri di daerah Pulwama, selatan Kashmir, membunuh 42 askar India, Februari lalu.
Keadaan diburukkan lagi apabila Pakistan menembak jatuh dua buah jet pejuang India mendorong kepada penahanan seorang juruterbang tentera India sebelum membebaskannya bagi meredakan konflik yang tercetus.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan dan anggota Pasukan Keselamatan Sempadan India terbunuh dalam insiden berbalas tembakan antara Pakistan dan India di Kashmir.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas sebutir bom mortar meletup berhampiran rumahnya di daerah Poonch yang terletak di bawah pentadbiran India.
Menurut jurucakap tentera India, Leftenan Kolonel Devender Anand, tentera India membalas serangan tembakan itu selepas tentera Pakistan memulakan pertempuran pada waktu pagi.
“Seorang anggota separa tentera, seorang wanita dan seorang budak perempuan maut manakala sekurang-kurangnya 18 orang awam dan lima askar India cedera,” kata Pegawai Polis India, M.K. Sinha.
Insiden di Poonch itu berlaku beberapa jam selepas empat lelaki bersenjata bertempur dengan pasukan tentera negara ini di Pulwama.
Setakat ini, India menempatkan kira-kira 500,000 anggota tentera di wilayah Kashmir yang ditadbirnya. – AFP/AGENSI











