BEIJING – Seorang budak lelaki kelainan upaya (OKU) di China tidak mempunyai masalah untuk hadir ke sekolah kerana rakan sekelas yang juga sahabat karibnya mengendongnya pada setiap hari selama enam tahun.
Xu Bingyang, 12, mengendong Zhang Ze ke sekolah tanpa mengira hujan atau panas. Budak lelaki yang berhati mulia itu turut membantu mengambil makan tengah hari dan membawa rakannya tersebut untuk menghadiri kelas berbeza bagi mata pelajaran berlainan.
Persahabatan akrab antara dua kanak-kanak dari bandar Meishan dalam wilayah Sichuan, selatan China itu dilaporkan awal bulan ini oleh beberapa akhbar tempatan termasuk Sichuan Online dan Xinhua.
Mereka merupakan pelajar darjah enam di Sekolah Rendah Pusat Bandar Hebazi di Daerah Qingshen, wilayah Sichuan.
Bingyang yang jauh lebih tinggi dan kuat daripada Ze memberitahu pemberita bahawa dia berbesar hati untuk menjadi ‘tongkat’ kepada kawannya.
“Saya memiliki berat lebih 40 kilogram sedangkan berat Ze sekitar 25 kilogram sahaja, oleh itu, tidak menjadi masalah untuk saya mengendongnya,” kata Bingyang.
Ze pula berkata bahawa dia amat berterima kasih atas jasa baik Bingyang itu.
“Bingyang ialah sahabat karib saya. Setiap hari dia belajar, berbual dan bermain bersama saya. Saya berterima kasih kepadanya kerana menjaga kebajikan saya selama ini,” kata Ze kepada Sichuan Online.
Kanak-kanak OKU tersebut menghidap sejenis penyakit otot ketika berumur empat tahun dan tidak boleh berjalan sendiri. – Agensi
h bilik sauna.











