KULIM 2 April – Seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk ditahan polis selepas dia bertindak menumbuk kepala isterinya di Taman Tunku Putra, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek yang berusia 31 tahun dikatakan pergi ke rumah mertuanya dan mengarahkan mangsa yang berumur 27 tahun supaya pulang segera ke rumah mereka.
Namun, wanita itu enggan menuruti arahan suaminya kerana dia mendakwa lelaki tersebut seorang yang tidak bertanggungjawab kerana tidak menyaranya.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek yang berada dalam keadaan marah dan mabuk kemudian mengejar dan menumbuk kepala isterinya beberapa kali.
“Lelaki itu juga menumbuk cermin tingkap rumah tersebut sehingga pecah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Ahmad Nasir, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan bergegas ke lokasi dan menahan suspek di hadapan rumah berkenaan.
“Hasil soal siasat awal, suspek yang tidak bekerja mengaku terlibat dalam kejadian itu,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – UTUSAN ONLINE











