KUALA LUMPUR 2 April – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang sedang bertugas cedera ringan selepas dilanggar seorang pelajar di Jalan Raja Laut menghala Dataran Merdeka di sini hari ini.
Ketua JSPTKL, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.11 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes E200 yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika anggota yang bertugas, Aniq Mohd. Kasim, 22, dari Bahagian Kawalan Lalu Lintas JSPTKL berada di tengah jalan untuk membuat kawalan.
“Kereta tersebut muncul secara tiba-tiba dari arah hadapan dan melanggar mangsa sehingga tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, akibat kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan ringan dan kini sedang di rawat di Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu pula dibawa ke balai polis trafik untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











