KUALA LUMPUR 2 April – Dua wanita disyaki pengedar dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang bernilai kira-kira RM142,460 di sekitar Kepong di sini baru-baru ini.
Video oleh Basir Abu Bakar
Dalam tangkapan pada pukul 12.30 tengah hari itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polisnya, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah jenis ekstasi di sekitar kawasan Kepong.
“Bertindak atas maklumat, kita telah menahan seorang wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30an di kawasan Kepong.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek ditemukan 500 biji pil ekstasi seberat 172.32 gram yang dianggarkan bernilai RM7,500,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.
Shanmugamoorthy memberitahu, susulan penahanan suspek pertama, pihaknya telah membuat serbuan pada hari yang sama di sebuah kondominium di sekitar Bandar Menjalara, Kepong pada pukul 4.30 petang.
“Sebelum serbuan tersebut, kita terlebih dahulu telah berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 50an yang disyaki pengedar dadah.
“Pihaknya turut menemukan pil ekstasi pelbagai warna(2,164), 1 bungkusan plastik ketamin, 5 peket MDMA dan pil erimin 5 (269) yang dianggarkan bernilai RM134,960,” jelasnya.
Tambah Shanmugamoorthy, polis turut membuat siasatan lanjut di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya 1988 untuk mengesan harta-harta milik suspek yang dipercayai hasil dari pengedaran dadah.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 29 Mac lalu untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











