KUALA LUMPUR 1 April – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mungkin dibatalkan pendaftaran andai ingkar dengan arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) untuk mengadakan semula proses pencalonan untuk semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31 persatuan itu.
PJS dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Februari lalu telah mengarahkan kongres yang tertangguh selama beberapa bulan itu perlu dilaksanakan sebelum atau pada 31 Mei 2019.
Keputusan itu dicapai selepas PJS dan FAM melakukan beberapa perbincangan dan pertemuan bersama dengan meneliti segala hujah berserta fakta bagi menyelesaikan kemelut dalaman kongres ke-31 KLFA.
Perkara tersebut membabitkan pertikaian proses pencalonan ahli jawatankuasa dan presiden KLFA yang didapati PPS selaku moderator tidak dijalankan dengan telus.
Bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur era 90-an, Datuk Ramlan Askolani selaku pihak pengadu menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan pemilihan seharusnya dilakukan secara telus.
“Bagi saya baguslah untuk diadakan semula pemilihan untuk memastikan lebih telus, sebelum ini jawatan lain boleh bertanding tetapi presiden tidak boleh.
“Mungkin dari situ FAM dan Pesuruhjaya Sukan ada nampak kebenarannya dan ia adalah keputusan yang tepat. Adakan pertandingan dahulu, kalah menang kita terima kerana kita berjuang demi kepentingan bola sepak Kuala Lumpur bukan sebab peribadi,” katanya yang juga ahli gabungan KLFA.
Terdahulu, kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung November tahun lalu ditangguhkan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, ekoran wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pencalonan untuk kongres itu.- UTUSAN ONLINE











