ARAU 1 April – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2021 yang akan datang nanti diharap dapat memberi lebih banyak peluang pelaburan baharu kepada pengeluar tempatan dan kontraktor serta rakyat jelata khususnya yang berada di utara untuk tidak terlepas peluang melibatkan diri dalam bidang pertahanan yang lumayan ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, secara tidak langsung akan dapat menyediakan peluang pekerjaan baru kepada sebilangan rakyat kita dalam industri atau bidang yang diceburi terutama sekali di dua kawasan pertumbuhan baru yang sedang dirancang iaitu Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan juga Jeti Kuala Sanglang di negeri Perlis dan juga beberapa kawasan perindustrian lama dan baharu terdapat di negeri Kedah.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri majlis bagi meraikan sambutan hari ulang tahun Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang ke-49 yang jatuh pada 28 Mac baru-baru ini. Majlis bertemakan ‘Combat’ tersebut diadakan di pekarangan Dataran Majlis, Istana Arau tengah hari semalam.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda bagibda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang baru berangkat pulang daripada Pulau Langkawi petang semalam turut berharap agar LIMA yang akan datang nanti juga dapat dimanfaatkan sebagai landasan yang terbaik untuk mempromosikan lagi keindahan negara khususnya destinasi terdekat iaitu di utara Semenanjung serta juga negara ini secara keseluruhannya kepada para pelabur, peserta dan pelawat ke pameran ini.
Ia secara tidak langsung akan mempertingkatkan lagi industri pelancongan negara kepada dunia.
Turut diadakan di majlis berkenaan yang mendapat kerjasama daripada pihak Markas Infantri 30 Briged, 4 Rejimen Renjer DiRaja (RRD) dan Rejimen 504 Askar Wataniah tengahari tadi ialah persembahan Tarian Perang dan Tempur Tanpa Senjata (TTS), demonstrasi kem survival dan memasak Pansuh serta beberapa pertandingan menarik yang disertai semua para tetamu yang hadir termasuklah memasang khemah ponco, memasak di medan, membuat para dan juga berkawad. – UTUSAN ONLINE











