MARAN 31 Mac – Perjalanan pulang sebuah keluarga daripada menghadiri kenduri kahwin berakhir dengan kematian selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 101 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu ialah pemandu kereta, Norsuraya Mohd. Noor, 30; suaminya, Musa Abdullah, 31; anak mereka, Muhammad Zulkarnain, 3, dan kedua ibu bapa pemandu, Hashimah Ismail, 66, serta Mohd. Noor Che Mat, 78, yang berada di tempat duduk belakang.
Difahamkan, kesemua mangsa termasuk Norsuraya yang hamil empat bulan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya di Kajang, Selangor yang berlangsung semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, nahas berlaku ketika kesemua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvii dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jengka.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvii dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah kereta Proton Iswara sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu dan empat penumpang Perodua Myvii meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang mangsa yang berusia lima tahun patah paha kiri,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, mayat lima sekeluarga itu dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, dekat sini.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
“Siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus satu lorong dan semasa kejadian cuaca cerah serta permukaan jalan adalah kering,” ujarnya.











