KUALA LUMPUR 31 Mac – Seorang kanak-kanak lelaki lemas ketika bermandi-manda di kolam renang sebuah kelab golf di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, kanak-kanak terbabit, Muhammad Daniel Salehuddin, 9, ditemukan lemas di kolam renang dewasa kelab golf tersebut oleh orang ramai.
“Mangsa bermalam di kelab golf tersebut bersama ahli keluarganya dari Masai, Johor dan dia dibawa berenang di kolam kanak-kanak oleh seorang daripada ahli keluarganya.
“Namun, tanpa disedari mereka, kanak-kanak itu telah masuk ke kolam renang dewasa dan hanya disedari orang ramai selepas dia lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bak Phai, orang ramai cuma menyelamatkan mangsa dengan membawanya ke klinik berdekatan, namun dia disahkan meninggal dunia. – UTUSAN ONLINE










