JITRA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika mengiringi lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke kilang burger Oblong di Kampung Cerok Mokkan di sini hari ini.
Kata beliau, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melihat bahawa Menteri Besar Kedah ini layak dan perlu untuk memimpin MADA pada ketika ini,” katanya.
Menurut Salahuddin, MADA merupakan satu industri yang sangat penting bagi pembangunan padi dan beras negara.
“Maka kementerian telah melakukan beberapa penilaian sebelum membuat keputusan yang penting ini demi pembangunan MADA untuk menghasilkan padi negara,” ujarnya.
Tambahnya, hubungan yang baik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri juga dapat memastikan setiap bantuan disalurkan dengan lebih cekap dan pantas.
“Kita bukan sahaja harus mengekalkan prestasi MADA daripada segi hasil padi tetapi juga membantu merancakkan lagi strategi pembangunan kementerian yang mahu hasil padi ini meningkat paling tidak lima peratus dalam masa beberapa tahun ini,” katanya.
Pengerusi MADA sebelum ini ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz. – K! ONLINE











