KUALA LUMPUR 31 Mac – Rakyat berhak mengetahui laporan 100 hari yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Pengerusi Rejim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar berkata, walaupun mengandungi isu-isu sensitif atau sebaliknya, laporan CEP itu harus didedahkan secara umum kepada rakyat.
Katanya, beliau setuju dengan cadangan Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin dan Ahli CEP, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundram yang menyokong agar laporan CEP yang disediakan mereka itu didedahkan secara umum.
“Kuasa itu sebenarnya terletak kepada perdana menteri sama ada mahu mendedahkannya atau tidak, tetapi rakyat tahu tujuan CEP ditubuhkan adalah untuk melihat dasar-dasar yang menyentuh kepentingan rakyat, jadi kami merasakan apa jua keputusan atau laporan dikeluarkan CEP sepatutnya boleh dilihat oleh rakyat.
“Misalnya isu-isu melibatkan perpaduan dan ekonomi negara yang dilihat amat penting dalam mentadbir negara, ini semua mencerminkan kepentingan awam dan kita mahu tahu keputusan CEP malah kita sebagai rakyat wajib mengetahuinya, biarlah rakyat menilai.
“Jadi, kalau melibatkan kepentingan awam mengapa pulak laporan itu tidak boleh didedahkan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan CEP kepada umum memandangkan ada beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan. – UTUSAN ONLINE











