KUALA SELANGOR – Penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.
Mengambil contoh darah tinggi serta diabetis daripada kelompok penyakit NCD, Dzulkefly memberitahu, 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.
“Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah ‘tersekat’ untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.
“Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung; diabetis akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang; penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram di sini hari ini. – Bernama











