KLANG 31 Mac – Peningkatan kes denggi di Selangor telah menggerakkan Kawasan Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk Taman Desa Indah (PPTDI) Meru, Klang mengadakan program gotong-royong untuk membanteras aedes dan denggi di kawasan kejiranan mereka.
Program bermula pukul 9 pagi itu telah disertai oleh lebih 50 penduduk termasuk kanak-kanak, dalam usaha mencegah pembiakan nyamuk aedes.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga dan PPTDI, Mohd. Mohimin Abdul Fatah, setakat ini sebanyak tiga kes demam denggi telah direkodkan oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan taman perumahan berkenaan.
“Kes yang direkodkan adalah bagi tempoh Jun 2018 hingga Mac ini. Yang tidak direkodkan pun ada.

“Sehubungan itu, kita mengambil inisiatif menganjurkan program gotong-royong ini untuk memastikan kawasan kejiranan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes,” katanya ketika ditemui dalam program itu di sini hari ini.
Mohd. Mohimin berkata, tumpuan program adalah membersih dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca kepada demam denggi berdarah.
Jelasnya, selain membanteras pembiakan aedes, program juga bertujuan mendidik anak-anak penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

“Program ini juga bermatlamat mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk,” katanya.
Menurut laporan, sebanyak 10,479 kes demam denggi dengan 12 kes kematian direkodkan di Selangor sejak awal Januari lalu hingga minggu keenam 2019.
Pengarah Kesihatan negeri Selangor, Datuk Dr. Khakid Ibrahim dilaporkan berkata, kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 204 peratus berbanding minggu sama pada tahun lalu.
Katanya, jumlah kematian turut meningkat sebanyak 140 peratus bagi tempoh sama pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











