KUALA LUMPUR 30 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara santai memaklumkan jadual pergerakannya ke beberapa lokasi di Selangor esok.
Menerusi hantaran terbaru dalam Facebook rasminya malam ini, Najib berkata, beliau akan menghabiskan cuti hujung minggunya dengan beberapa aktiviti yang telah diaturkan untuk bertemu dengan orang ramai di kawasan tersebut.
“Saya fikir nak pergi jalan-jalan kat Selangor esok. Siapa nak ikut?
“Pagi esok, pukul 8.45 pagi ayuh kita bersarapan di Restoran Mek Teganu, Kuala Selangor. Selepas itu, sesiapa yang ada di Sabak Bernam, kita jumpa 10.45 pagi dekat pekarangan Bangunan UMNO.
“Petang sikit dalam pukul 3 petang, saya jemput warga Sekinchan sembang santai sekali di Sekin H&R, Kita ambil swafoto ramai-ramai. Ada masa 6 petang nanti mungkin saya nak pergi pasar malam beli kuih, dengar orang kata, pasar malam Tanjung Karang ramai juga pergi,” katanya di sini malam ini.
Najib juga malah secara sinis memberitahu, supaya jangan dihebahkan jadual aktivitinya pada hari esok kerana bimbang diketahui Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Jangan bagi tahu Azmin Ali, tidak lena (beliau) tidur malam ni,” sindirnya. -UTUSAN ONLINE











