[VIDEO] Liga Super: Tok Gajah benam Felda United - Utusan Malaysia

[VIDEO] Liga Super: Tok Gajah benam Felda United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN – Skuad Tok Gajah menewaskan Felda United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Pelawat berpeluang menjaringkan gol awal pada minit ke-14 namun rembatan kencang Mohamad Safuwan Baharuddin dari luar kotak penalti sedikit melewati palang gol.

Peluang kedua Tok Gajah hadir dua minit kemudian namun rembatan Muhammad Zuhair Aizat Mohd. Nazri sedikit tersasar ke sebelah kanan pintu gol lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tuan rumah turut berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-22 namun penjaga gol pelawat, Mohd. Helmi Eliza Elias bertindak cemerlang menangkap kemas rembatan Jasazrin Jamaludin.

Tok Gajah akhirnya berjaya mendapat gol pertama menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-45 apabila tendangannya gagal diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Bersambung babak kedua, tuan rumah melakukan asakan awal dan Thiago Aquino berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 apabila menanduk masuk hantaran Mohd. Hadin Azman.

Pelawat yang dahagakan kemenangan terus rancak menyerang ke kubu lawan dan mereka sekali lagi mendahului apabila Jose Eduardo atau Ze Love berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tendangan penalti pada minit ke-63.

Mohamad Faisal Abdul Halim yang masuk pada separuh masa kedua menggantikan Muhamadou Sumareh melengkapkan malam gemilang skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-90.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Pahang kini terikat 17 mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Takzim yang mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kedah semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini