JAKARTA 30 Mac – Calon Presiden Indonesia nombor dua, Prabowo Subianto menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang penyokong fahaman radikal sebaliknya akan berdiri di belakang semua golongan sekiranya memenangi pilihan raya Presiden (pilpres) bulan hadapan.
Lapor Republika.co.id, Prabowo menegaskan, beliau akan melindungi semua agama, suku, keturunan serta semua golongan.
katanya, beliau dan calon Naib Presiden nombor dua, Sandiaga Uno mahu masyarakat negara ini hidup aman dan tidak menyuarakan kebencian.
“Takbir bukan menandakan radikal, takbir hanya untuk mengagungkan Allah SWT. Kita ingin hidup dengan aman dan tidak mengajarkan kebencian,” kata Prabowo.
Beliau berkata demikian semasa berkempen secara terbuka di perkarangan Stadium Pakansari, Bogor semalam.
Tambah Prabowo, beliau juga mahu mengembalikan kekayaan Indonesia yang selama ini ‘dirampas’ oleh pihak luar.
“Kita sudah muak dengan kekayaan Indonesia yang dirompak ke luar negara. Aset negara yang menjadi kebanggaan kita, Garuda, Pertamina, aset negara yang hebat tetapi kita lihat keadaannya sekarang,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Prabowo turut mengkritik prestasi kerajaan ketika ini, terutamanya dalam aspek pengurusan ekonomi sejak lima tahun kebelakangan ini.
Prabowo mendakwa, beliau tidak mempercayai kata-kata kerajaan yang menyatakan pertumbuhan ekonomi berlaku dengan pesat dan menyifatkan cakap tersebut sebagai pembohongan semata-mata.
“Adakah kamu semua merasakan adanya pertumbuhan ekonomi? Yang tumbuh apa? Yang naik apa?” tanya Prabowo kepada puluhan ribu penyokongnya. – AGENSI











