BUENOS AIRES 30 Mac – Anak lelaki Lionel Messi yang berusia enam tahun mempersoalkan kenapa ayahnya menjadi mangsa kritikan semasa bersama pasukan Argentina.
Bintang dunia itu sentiasa mengimpikan kejayaan di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan selepas berjaya merangkul pelbagai kejayaan di dalam saingan domestik dan Eropah bersama Barcelona.
Argentina sebelum ini gagal dalam dua final Coap America selain tewas dalam aksi final Piala Dunia kepada Jerman pada 2014, walaupun menggunakan khidmat Messi.
Selepas Argentina tersingkir dalam aksi kalah matu Piala Dunia 2018, Messi mengambil keputusan meninggalkan skuad kebangsaan sebelum kembali selepas sembilan bulan namun tewas kepada Venezuela dalam aksi persahabatan, minggu lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Messi sekali lagi meninggalkan skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Maghribi sekali gus menjadikan dirinya sasaran kritikan penyokong.
Kapten Argentina itu bagaimanapun menjawab segala kritikan menerusi satu wawancara bersama radio Buenos Aires, FM Club 947.
“Memang saya mahu menang sesuatu bersama Argentina, saya mahu kembali dan beraksi dalam kejohanan besar.
“Apabila saya memutuskan untuk kembali, kritikan mula ditujukan ke arah saya.
“Anak saya bertanya kepada saya, ‘kenapa ayah sentiasa menjadi mangsa kritikan di Argentina?’
“Saya jelaskan kepada anak saya bahawa hanya sebilangan kecil sahaja. Memang saya mahu bersama Argentina dan tidak perlu untuk saya buktikan perkara ini kepada mana-mana pihak,” katanya.
Lionel Scaloni, yang menggantikan Jorge Sampaoli selaku ketua jurulatih selepas Piala Dunia, mengalu-alukan kepulangan Messi ke dalam pasukan itu dan kapten Argentina itu beranggapan pasukannya kini memiliki masa depan cerah.-AGENSI











