Pertembungan 3 penjuru - Utusan Malaysia

Pertembungan 3 penjuru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mac – Kemunculan juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang bakal berentap dengan pemenang pingat emas Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan dan jaguh pecut Taiwan, Yang Chun-han menjanjikan perlumbaan paling sengit dalam acara 100 meter lelaki pada Grand Prix Terbuka Malaysia esok.

Ketiga-tiga pelari muda itu kini berada pada prestasi terbaik, sekali gus akan mewujudkan persaingan yang mungkin menyaksikan ada rekod terhasil di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Lalu, 18, mencipta sejarah olahraga Indonesia apabila merangkul kejuaraan 100m remaja dunia di Tampere, Finland tahun lalu dengan catatan masa 10.18 saat.

Khairul Hafiz, 20, juga memegang rekod peribadi terbaik 10.18s dan dinobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas Sukan SEA 2017.

Pemenang pingat perak 200m Sukan Asia 2018, Chun-han, 22, pula memiliki catatan peribadi terbaik dalam kalangan semua perserta dengan masa 10.11s, malah dia juga turun dengan reputasi sebagai juara 200m Asia 2017.

Perlumbaan 100m juga bakal menampilkan pemegang rekod 200m kebangsaan yang baharu, Russel Alexander Taib, 21, namun berbanding tiga pencabar lain, Russel hanya memiliki catatan peribadi terbaik 10.49s.

Dalam Sukan Asia 2018 Chun-han melakukan catatan 10.17s ketika menamatkan saingan di tangga kelima.

Turut menghangatkan lagi perlumbaan 100m adalah Raja Pecut Sukan Malaysia 2018 dan Sukan Universiti ASEAN 2018, Muhammad Aqil Yasmin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×