KUALA LUMPUR 29 Mac – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tiada serbuan dibuat ke atas agensi itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, sebaliknya kehadiran pihak SPRM ke pejabat LHDN di Jalan Raja Chulan, di sini adalah bagi mendapatkan bantuan pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan mereka.
“Tiada serbuan seperti yang dilaporkan, sebaliknya kehadiran SPRM adalah untuk mendapatkan bantuan dalam proses melengkapkan kertas siasatan.
“LHDN amat kesal dengan kandungan artikel berita yang diterbitkan itu kerana dilaporkan secara tidak tepat seolah-olah menggambarkan LHDN terlibat sama dalam kes yang sedang disiasat sehingga menjejaskan reputasi sebagai sebuah organisasi yang menitikberatkan tahap profesionalisme dan integriti tinggi dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawab pemungut hasil negara,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan SPRM menyerbu pejabat LHDN dalam siri siasatan skandal projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dianggarkan bernilai RM500 juta. – UTUSAN ONLINE











