KUALA LUMPUR 29 Mac – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi memperhebatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) perkayuan negara.
Dalam kenyataan bersama, kerjasama dua badan itu bertujuan mewujudkan dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menjalankan program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan bagi memperkasa pengurusan dan pembangunan industri kayu-kayan di Malaysia.
“Kerjasama antara MTIB dengan FRIM ini akan mendatangkan manfaat dari segi pengukuhan R&D dalam mentransformasikan hasil R&D untuk aplikasi komersial selaras dengan Dasar Perindustrian Kayu Negara (Natip) dalam Teras 3: Inovasi dan Teknologi.
“Di samping itu, usaha ini juga dapat mengurangkan duplikasi penyelidikan berhubung pembangunan industri perkayuan menerusi kerjasama dalam program-program secara bersama akan menguntungkan kedua-dua pihak, mengukuhkan struktur industri perkayuan serta meningkatkan daya saing secara global,” menurut kedua-dua agensi itu hari ini.
Terdahulu majlis menandatangan MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod dan Timbalan Ketua Pengarah MTIB, Norchahaya Hashim.
Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Mahpar Atan dan Ketua Program Teknologi Biomass FRIM, Dr. Wan Asma Ibrahim. – UTUSAN ONLINE











