Pengunjung ‘uji nilai’ bot CB90 
 - Utusan Malaysia

Pengunjung ‘uji nilai’ bot CB90 


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 29 Mac – Kemampuan bot tempur CB90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ‘diuji dan dinilai’ sekali lagi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19).

Namun, apa yang menarik, ‘uji nilai’ yang dibuat kali ini bukan membabitkan anggota tentera, sebaliknya pengunjung yang diberikan peluang menaiki bot berkelajuan 40 knot itu selepas memenangi peraduan anjuran TLDM sempena LIMA ’19.

Bagi Nur Azyanie Ahmad, 31, dia menyifatkan peluang itu sebagai pengalaman dan cara terbaik menyelami kehidupan anggota TLDM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika saya tidak mencuba nasib menyertai peraduan berkenaan, sudah pasti saya hanya datang dan melihat sahaja pameran ini.

“Inilah salah satu cara terbaik supaya masyarakat kita dapat mengetahui dan mempelajari bagaimana aset TLDM berfungsi, sekaligus menghayati pengorbanan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Peraduan Kunjungi dan Menang itu hanya terbuka sempena LIMA ’19 yang berakhir esok sebagai penghargaan kepada pengunjung.

Dalam pada itu, Nurul Faeza Mohd.Yusof, 29, berkata, kunjungannya ke LIMA ’19 amat berbaloi dan berharap TLDM dapat meneruskannya lagi dalam pameran atau acara lain pada masa hadapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini