KUALA LUMPUR – Siapa sangka kulit rambutan yang biasanya dibuang selepas isinya dimakan, sebenarnya memiliki bahan aktif semula jadi yang mampu merawat jangkitan kulat pada kulit dan kuku.
Berdasarkan penemuan oleh SIRIM Berhad kira-kira empat tahun lalu, badan itu telah menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan krim antikulat berasaskan ekstrak kulit rambutan.
Krim berkenaan adalah untuk membantu merawat penyakit kulit yang berpunca daripada kulat termasuk panau dan kurap.
Kini ia dipasarkan oleh Procell PLT, sebuah syarikat bumiputera di bawah Program Symbiosis 3.0 kelolaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.
Pengarah Urusan Procell PLT, Mohd Irfan Mohd Sharif berkata, kelebihan Procell Nail & Skin Cream berbanding produk sedia ada di pasaran ialah ia menggunakan bahan aktif semulajadi.
Jelasnya, ekstrak kulit rambutan memiliki bahan aktif Polyphenols untuk melawan jangkitan kulat, yang mana bahan tersebut kebiasaannya dihasilkan secara sintesis di makmal.
“Memandangkan produk kami menggunakan bahan aktif daripada bahan semula jadi, ia lebih sesuai bagi mereka yang memiliki alergi atau kulit sensitif kerana tidak mempunyai bahan toksik dan tidak akan menyebabkan kerengsaan atau kegatalan pada mata serta kulit.
“Ia juga merupakan produk alternatif bagi mereka yang lebih gemar menggunakan bahan semula jadi,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Menurut Mohd Irfan, krim berkenaan hanya diperkenalkan di pasaran tempatan pada awal tahun ini dan pihaknya masih mengharapkan maklum balas daripada pembeli yang telah mengguna pakai produk berkenaan.
“Buat masa ini kami menawarkan krim ini secara online. Mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook kami di alamat Procell HQ.
“Krim ini kini ditawarkan pada harga promosi RM20 untuk tiub dengan kapasiti 15 gram, tidak termasuk caj penghantaran,” katanya.











