PORT RICHMOND, Pennsylvania – Seorang pekerja syarikat telekomunikasi Verizon digantung tugas kerana menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas sebatang tiang telefon, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Maurice German sedang bekerja di kawasan kejiranan Port Richmond pada Sabtu lalu apabila seorang penduduk tampil meminta bantuan untuk menyelamatkan kucing bernama ‘Momma’.
Kucing itu terperangkap di atas tiang berkenaan kira-kira 12 jam, lapor stesen televisyen CBS Philly.
German membantu dengan menggunakan sebuah boom lift untuk mencapai kucing berkenaan dengan sekumpulan penduduk merakam operasi menyelamat itu dan memujinya.
Kucing itu diserahkan semula dalam keadaan selamat kepada pemiliknya dan disahkan tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, Verizon menggantung tugas German selama 15 hari dengan mengatakan, kenderaan dan peralatan syarikat tidak seharusnya digunakan di lokasi berkenaan.
Jurucakap Verizon, Rich Young memberitahu CBS Philly: “Malangnya, pada ketika misi pekerja ini dikagumi, dia berpotensi menempatkan diri sendiri dan mereka di sekeliling dalam bahaya.
“Pada ketika tindakan kami mungkin tidak digemari, ia adalah kepentingan utama bagi kakitangan (kami) dan komuniti di mana kami menawarkan perkhidmatan.”
Pemilik kucing ada menghubungi jabatan bomba, agensi penyelamat haiwan dan syarikat telefon berkenaan untuk menyelamatkan haiwan peliharaan itu.
Bagaimanapun, seorang penduduk lain bertemu German di kawasan itu dan meminta bantuannya. – Agensi











