KUALA LUMPUR 28 Mac – Kadar penggunaan elektrik yang terlalu tinggi bukan sahaja memberi bebanan kewangan kepada pengguna, tetapi turut mendatangkan kesan terhadap alam sekitar.
TNB Energy Services (TNBES) melalui anak syarikatnya, Maevi Sdn. Bhd. (Maevi) mempunyai hasil inovasi tersendiri demi membantu pengguna mengurus penggunaan tenaga elektrik sama ada kegunaan industri atau persendirian.
Bagi Ketua Pegawai Operasi Maevi, Dr. Mohd. Aswad Ramli berkata, syarikat terbabit telah memperkenalkan aplikasi dan pelbagai produk berkaitan pengurusan tenaga dan rumah pintar kurang dari setahun ia ditubuhkan.
“Aplikasi Maevi akan disertakan dengan khidmat nasihat tenaga elektrik dimana pengguna akan turut menikmati gaya hidup terkini dan menjadi pengguna yang bijak tenaga. Maevi turut menitikberatkan soal keselamatan domestik, contohnya pengguna terlupa menutup suis sterika dan peralatan elektrik selepas keluar dari rumah boleh diatasi dengan fungsi automasi Maevi”. katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) dan pameran perdagangan, ASEAN Super 8 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini .
TNB turut memperkenalkan konsep bandar pintar atau bandar lestari dikenali sebagai ‘Living, Enabling, Sustaining, Empowering (LENSE).
Bagi Pengurus Projek LENSE, Noamifarah Rahimuddin berkata, TNB akan melancarkan dua prototaip solusi pintar kepada sesiapa sahaja dalam menerapkan gaya hidup digital yang cekap tenaga.
Menurutnya konsep dikenali sebagai LENSE menjadikan Cyberjaya sebagai bandar pintar pertama mendapatkan maklum balas daripada penduduk.
Sebuah lagi anak syarikat TNB, iaitu GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) berjaya menceburkan diri dalam industri solar fotovoltaik (PV).
Ketua Pemasaran GSPARX, Ir. Nor Ziha Zainol Abidin berkata, selepas diperkenalkan selama dua tahun, syarikat itu kini menawarkan pakej untuk segmen kediaman dengan kadar harga berpatutan.
“Menariknya, pelanggan dapat menjimatkan tenaga elektrik di kediaman lebih 50 peratus dengan penyelenggaraan daripada pihak kami untuk satu tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.











