KUALA LUMPUR 28 Mac – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) mengagihkan zakat perniagaannya berjumlah RM8.4 juta untuk haul 2018 kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pengagihan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan zakat perniagaannya yang berjumlah RM13.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 yang mana selebihnya akan dibayar kepada setiap Majlis Agama Islam dan Lembaga Zakat Negeri-negeri.
“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan Bank Islam untuk haul 2018 telah meningkat 1.56 peratus kepada RM13.5 juta daripada RM13.3 juta pada tahun sebelumnya.
“Ia didorong oleh rekod keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) Bank Islam sebanyak RM810.3 juta untuk tahun kewangan 2018, peningkatan RM43.2 juta atau 5.6% berbanding RM767.1 juta pada tahun 2017. Kami berharap jumlah zakat yang diagihkan ini sedikit sebanyak dapat membantu memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











