PETALING JAYA 28 Mac – Sunway Bhd, satu daripada lima operator utama pusat beli-belah di Malaysia akan membuka tiga pusat beli-belah baharu dalam tempoh empat tahun lagi dengan peruntukan antara RM500 juta dan RM1 bilion bagi setiap pusat beli-belah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Mall and Theme Parks, HC Chan berkata, pusat beli-belah baharu itu akan dibuka di Johor, Pulau Pinang dan Perak.
“Pusat beli-belah ketujuh kami, Sunway Big Box Village di Johor Bahru akan dibuka pada suku keempat tahun ini manakala di Paya Terubong, Pulau Pinang dan Tambun, Ipoh akan dibuka menjelang 2023.
“Kami juga memperuntukkan RM500 juta untuk membesarkan Sunway Carnival Mall di Seberang Prai, Pulau Pinang yang dijangka siap pada suku keempat tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Revolusi Tanpa Tunai Sunway Mall di sini hari ini.
Chan berkata, syarikat itu merekodkan pertumbuhan kukuh pada 2018 berbanding 2017, disumbangkan terutama daripada perbelanjaan pada musim perayaan.
“Kami sedia maklum ramai pelanggan memilih pembayaran dalam talian kerana ia memudahkan, tanpa perlu membawa banyak wang tunai. Pada kebiasaannya mereka membayar secara tunai untuk pembelian di bawah RM50 manakala pembayaran lebih tinggi akan dibuat menerusi kad debit atau kad kredit.
“Pada masa ini, lebih ramai peruncit menceburi e-dagang untuk mengukuhkan kehadiran mereka secara dalam talian selain perniagaan di luar talian dengan menyasarkan kepada generasi muda yang akan menjadi pengguna dan pemacu pertama penggunaan e-dompet,” katanya.
Sejajar dengan hala tuju 10 tahun Bank Negara Malaysia ke arah masyarakat tanpa tunai, Sunway Mall menganjurkan persidangan tertutup hari ini melibatkan peruncit dan syarikat-syarikat e-dompet seperti Boost, FavePay, GrabPay, Maybank QRPay, Touch ‘n Go Pay dan WeChat Pay.
Sehingga kini, hampir 35 peratus peruncit di pusat beli-belah Sunway menggunakan sistem pembayaran e-dompet di outlet masing-masing dan lebih ramai peruncit dijangka menggunakan sistem tersebut bagi memenuhi budaya pembayaran tanpa tunai yang semakin meningkat.
Chan berkata, subsektor e-dompet mengisi jurang ekosistem pembayaran kerana ia berasaskan mudah alih selain bersesuaian dengan kadar penembusan telefon pintar rakyat Malaysia yang ketika ini berjumlah 75.9 peratus seperti dilaporkan oleh Bank Dunia.
“Di Sunway Pyramid sahaja, pembayaran dalam talian berjumlah RM2.5 bilion pada tahun lepas dan 60 peratus pengguna membayar caj meletak kereta menerusi sistem itu (Touch n Go).
“Bagi peruncit, sistem pembayaran tanpa tunai merupakan platform berkesan untuk kos penjimatan lebih tinggi dengan meminimumkan kos mengendalikan wang tunai dan perakaunan yang baik, selain menyediakan persekitaran lebih selamat dengan mengurangkan masalah dan kebimbangan terhadap jenayah,” katanya. – BERNAMA











