KUALA LUMPUR 28 Mac – Ahli-ahli Parlimen mahu Music Rights Malaysia (MRM) disiasat terutama berkenaan soal agihan pembayaran royalti kepada penggiat seni tanah air dan waris.
Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat perkara tersebut memandangkan hasil royalti perlu dinikmati artis atau keluarga.
“Sebelum MRM diperkenalkan pada tahun 2017, pengutipan royalti oleh beberapa gabungan berbeza jauh.
“Seperti Allahyarham Loloq, balunya sebelum ini hampir (menerima) RM200,000. Tetapi kini, kutipannya hanya sekitar RM40,000 hingga RM50,000.
“Ini nasib anak seni. Dengan S.M. Salim, P. Ramlee, S. Jibeng dan royalti mereka-mereka yang lain. Mereka dianugerahkan tuhan untuk menghiburkan kita, tetapi hasilnya tidak dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi menjawab Perbahasan Titah Diraja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna oleh Timbalan Menteri, Chong Chieng Jen dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
MRM yang ditubuhkan pada 2017 berfungsi sebagai badan pelesenan tunggal yang bertanggungjawab membuat kutipan bayaran royalti muzik kepada beberapa badan pelesenan sedia ada.
MRM bagaimanapun sebelum ini telah menafikan dakwaan kononnya badan itu menyalahgunakan kutipan royalti untuk tujuan pentadbiran.
Gesaan Abdullah Sani turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang, termasuklah Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau).
Shahidan malah mahu kerajaan memaklumkan secara bertulis berapakah pembayaran royalti yang telah diterima oleh waris S.M. Salim, P. Ramlee, S. Jibeng sehingga kini
Chieng Jen berkata pihak kementerian akan memberi perhatian perkara tersebut dan sedia menerima sebarang maklumat seandainya berlaku penyelewengan.-UTUSAN ONLINE











