Main judi serendah 20 sen - Utusan Malaysia

Main judi serendah 20 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Taruh judi serendah 20 sen dengan dipercayai menyasarkan remaja dan pelajar sekolah sebagai pelanggan.

Itu taktik terbaharu yang terbongkar hasil serbuan ke atas sindiket judi dalam talian yang diserbu di sebuah kondominium di Sungai Emas, Banting di sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan pukul 5 petang pada 18 Mac lalu itu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 40 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, modus operandi sindiket judi itu menyediakan pertaruhan menerusi kaedah prabayar selain menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp bagi mempromosikan kegiatan mereka secara rambang.

“Sindiket ini hanya mampu bertahan dua hari sahaja dengan mengaut keuntungan lebih RM20,000 sebelum diserbu pihak kami.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek menyewa kondominium itu dengan harga RM1,100 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil serbuan di kondominium yang lengkap dengan kawalan keselamatan menggunakan akses kad itu merampas tiga tablet dan wang tunai berjumlah RM12,800.

Jelas Azizan, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan berlainan, Azizan turut memaklumkan indeks jenayah di IPD Kuala Langat telah mencatatkan penurunan kepada 112 kes dalam tempoh tiga bulan ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 127 kes.

“Bagi kes narkotik pula, seramai 708 tangkapan berjaya dilaksanakan tahun ini meliputi pembekal, pengedar dan penagih.

“Sementara bagi kes trafik, sebanyak 17 kemalangan maut dilaporkan daripada keseluruhan 977 kemalangan bermula awal Januari sehingga hari ini berbanding 924 kes kemalangan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini