KUALA LUMPUR 27 Mac – Polis menahan seorang lelaki dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dalam serbuan di sebuah rumah di Kuchai Avenue, Off Jalan Kuchai Lama di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam tangkapan yang dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields kira-kira pukul 6.45 petang itu, sebanyak 14 peket plastik lutsinar seberat 850 gram dipercayai dadah jenis methamphetamine turut dirampas.
“Keseluruhan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM40,200 dan kita juga turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi milik suspek.
“Hasil siasatan mendapati suspek bergiat aktif mengedar methamphetamine di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mazlan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga menunjukkan positif methamphetamine.
“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama lima hari bermula Ahad lalu hingga esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











